07 January 2010

Pembangunan Pelancongan Negeri Kelantan Bersepadu

PENGENALAN

Assalamualaikum w.b.t.,

Sebagai anak jati Kelantan, saya tertarik untuk mengangkat sektor pelancongan sebagai sumber ekonomi yang penting kepada negeri Kelantan. Bersesuaian dengan misi Kerajaan Islam Kelantan untuk menumpukan pembangunan sektor pelancongan, saya dengan ini ingin berkongsi sedikit cadangan yang saya rumuskan daripada pemerhatian dan kajian saya yang bertajuk “Pembangunan Pelancongan Bersepadu Negeri Kelantan 2010.”

Pada pemahaman saya, apabila berlaku pelancongan maka orang luar akan datang meletakkan atau membelanjakan duit mereka di sini. Secara tidak langsung, rakyat tempatan dan kerajaan negeri akan mendapat banyak faedah dari segi ekonomi dan politik. Kos yang sepatutnya dibayar oleh rakyat tempatan telah dibiayai oleh pelancong. Dari sudut kerajaan berkebajikan, lebihan pendapatan itu bolehlah digunakan untuk mengurangkan beban rakyat tempatan. Sebagai contoh menghapuskan atau mengurangkan bayaran parkir kereta. Dari sudut perniagaan pula, perkara ini mungkin tidak relevan kerana konsep bisnes adalah untuk memacu keuntungan ke tahap maksima.

Di Pulau Pinang sebagai contoh, orang yang ingin masuk ke bahagian pulau dikenakan tol manakala rakyat tempatan yang tinggal di pulau yang ingin keluar tidak dikenakan tol. Begitu juga dengan tambang feri yang hanya dikenakan untuk masuk ke pulau sahaja tetapi tidak untuk keluar dari pulau. Secara tidak langsung, rakyat yang hanya berurusniaga dalam kawasan pulau tidak perlu mengeluarkan belanja bayaran tol. Jadi ini merupakan satu penjimatan kepada rakyat.

Di sini saya senaraikan 10 cadangan utama sahaja. Sekiranya mendapat respons baik, saya akan ketengahkan keseluruhan kajian saya. Tiada guna juga kalau saya senaraikan semuanya sekali tetapi tiada siapa yang ingin membaca atau mendengar.

Saya berkelulusan kejuruteraan dari sebuah universiti di United Kingdom. Mungkin idea dan cadangan saya agak kebaratan dan tidak sensitif kepada unsur-unsur keagamaan dan adab tempatan. Untuk itu, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas kesilapan dan kekhilafan saya.

10 CADANGAN MENAIKTARAFKAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI KELANTAN

1. Jawatankuasa Khas Pelancongan Negeri-negeri Pakatan Rakyat

Kerajaan Pusat dilihat enggan menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam banyak bidang, terutama dalam perkara yang boleh memberi faedah atau menambah undi kepada kerajaan pembangkang. Sekiranya ada pun kerjasama yang diisytiharkan, sudah tentu tersirat misi atau agenda lain. Untuk dilihat ‘kuat’ dalam memajukan industri pelancongan dan mempromosikan produk pelancongan ke negeri-negeri luar, satu jawatankuasa khas yang melibatkan kerjasama negeri-negeri Pakatan Rakyat harus ditubuhkan. Adalah lebih baik sekiranya jawatankuasa ini tidak melibatkan urusan politik, supaya dilihat sebagai sebuah jawatankuasa yang mementingkan keseluruhan rakyat.

Antara tugas utama jawatankuasa ini adalah:
1. Mengenalpasti produk-produk pelancongan yang boleh dinaiktarafkan.
2. Bekerjasama dalam mempromosi produk pelancongan setiap negeri.
3. Mendapatkan tapak untuk pameran dan promosi di negeri-negeri Pakatan dengan murah/percuma.
4. Menganjurkan program pelancongan bersepadu bertaraf lima bintang seperti Pameran Pelancongan Nasional.
5. Membincangkan hala tuju bersama dasar pelancongan Negeri-negeri Pakatan Rakyat.

2. Gabungkan semua bajet hotel & hostel di bawah satu persatuan – Kelate Hostel

Sebelum memulakan perjalanan, biasanya pelancong akan membuat perancangan perjalanan terutama memilih penginapan yang berdekatan dengan kawasan pelancongan. Mengambil contoh pendekatan yang digunakan di Eropah, semua bajet hotel dan hostel yang berdaftar dipromosikan di dalam sebuah laman web rasmi www.hostelworld.com. Pengusaha akan memberi maklumat tentang harga dan kemudahan yang disediakan. Manakala pengunjung boleh membuat tempahan secara online, dan memberi ‘rate’ kepada hotel yang pernah mereka duduki. Pada masa yang sama, produk-produk pelancongan yang berdaya saing dipromosikan untuk melariskan tempahan hostel berdekatan. Berlaku proses saling bantu-membantu di sini.

Persatuan Homestay Kelantan pernah ditubuhkan di bawah Kementerian Pelancongan dan dirasmikan oleh bekas Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Said Othman. Tak tahu apa perkembangan sekarang. Sampai sekarang pun masih belum ada laman web rasmi.

3. Satu Daerah Satu Dataran, Satu Daerah Satu Landmark

Satu dataran terbuka yang mempunyai landmark tersendiri. Setiap daerah akan mempunyai identiti sendiri. Program-program kerakyatan yang biasanya diadakan di padang bola atau padang sekolah boleh dipindahkan ke dataran ini. Selain itu banyak lagi fungsi-fungsi lain yang boleh ditawarkan seperti berikut:
1. Meeting Point Pelancong
2. Lokasi Ceramah Agama dan Politik
3. Lokasi Solat Hajat Perdana
4. Tempat Perhimpunan Aman / Rapat Umum
5. Aktiviti Senamrobik / Taichi
6. Pertunjukan / Perlawanan Silat dan Tomoi
7. Tapak Karnival dan Pusat Pameran

Ketereh dan Pasir Puteh antara daerah yang mempunyai landmark tersendiri. Mungkin boleh diubahsuai menjadi dataran supaya boleh berfungsi lebih sekadar sebuah landmark.

Selain menggunakan nama Dataran Majlis Daerah Pasir Puteh (sebagai contoh), boleh juga digunakan nama seperti Dataran Tok Janggut atau lain-lain. Antara nama yang dicadangkan; Dataran Tok Janggut (Pasir Puteh), Dataran Tok Kenali, Dataran Tok Guru, Dataran Ketereh (sedia ada), Dataran Ilmu (sedia ada), Dataran Muhibbah, Dataran Warisan dan lain-lain.

Contoh dataran dan landmark yang ada ialah Dataran Penggaram di Batu Pahat, Johor. – Lihat Lampiran A.

4. Naik Taraf Sungai Kelantan

Kebanyakan bandar di Barat memanfaatkan sepenuhnya sungai untuk menarik minat pelancong. Sebagai contoh, Thames River di London dan Salzach River di Salzburg sentiasa dipenuhi pelancong sepanjang tahun. Sungai Kelantan mula menjadi tumpuan setelah pembukaan Pasaraya Tesco. Memandangkan akses jalanraya telah tersedia dan banyak lot-lot gudang hampir siap dibina, sudah pasti kawasan ini akan menjadi pusat tumpuan alternatif.


Antara perkara yang boleh dibangunkan sepanjang Sungai Kelantan adalah seperti berikut:


1. Menyediakan kemudahan untuk aktiviti riadah keluarga seperti trek jogging dan laluan basikal di sepanjang tebing sungai.

2. Mempelbagaikan aktiviti berkaitan sungai seperti kayak. Semakin ramai orang persendirian yang bermain jet ski sekarang.

3. Menganjurkan acara tahunan seperti lumba rakit atau perahu. Mungkin boleh dilakukan pada peringkat daerah dan antarabangsa dengan menjemput wakil dari Negara Cina yang memang terkenal dengan tradisi lumba perahu. Acara ini lebih berjiwa rakyat berbanding Monsoon Cup di Terengganu.

4. Pembinaan rumah rakit moden - Datuk Takiyuddin pernah dilaporkan memberi cadangan pembinaan homestay atau rumah rakit moden di tebing Sungai Kelantan.

5. Program Homestay VIP

Beberapa tokoh terkenal, VIP, artis, wakil rakyat, orang berpengaruh akan dijemput untuk menyertai program ini. Mereka akan dihidangkan dengan kebudayaan Kelantan dan dibawa melawat tempat-tempat pelancongan di Kelantan. Krew program Majalah 3 atau rancangan dokumentari seumpamanya dari negara jiran juga boleh dijemput sebagai peserta. Pada pagi Jumaat mungkin boleh dibawa melawat Program Tok Guru di Dataran Ilmu. Pengusaha homestay yang layak akan dikenalpasti untuk program ini.

Kelebihan:
1. Cepat mendapat publisiti media – promosi percuma
2. Pengaruh wakil rakyat atau VIP untuk mempromosikan Kelantan kepada pengikut / peminat masing-masing.

6. Penglibatan Serius Daripada Majlis Daerah

Dasar pelancongan negeri Kelantan perlu diterjemahkan secara praktikal dan seharusnya menjadi prioriti setiap Majlis Daerah, selain MPKB-BRI di dalam menjayakan agenda pembangunan. Hampir 40 kawasan pelancongan yang berdaya saing dalam menjadi kawasan pelancongan alternatif di seluruh Kelantan. Tetapi amat malang sekiranya tempat ini tidak dijaga dan diuruskan dengan sempurna dan konsisten. Sebagai contoh Pantai Tok Bali yang dipenuhi dengan sampah sarap. Satu Unit Khas di bawah setiap Majlis Daerah boleh ditubuhkan bagi menjaga kebersihan dan keindahan produk pelancongan.

Majlis Daerah juga boleh merangka pakej pelancongan dalam daerah masing-masing atau dengan kerjasama beberapa daerah bersebelahan. Ini memudahkan pelancong asing mendapat maklumat untuk memilih tempat yang menarik untuk dilawati.

Bagi Majlis Daerah yang tidak mempunyai atau kurang produk pelancongan, mereka bolehlah menumpukan kepada usaha mempromosikan produk pelancongan di daerah lain. Sebagai contoh, rakyat Tanah Merah tidak mempunyai pilihan kawasan pelancongan tempatan selain Lata Hujan. Jadi, merekalah yang berpotensi menjadi prospek pelancong.

7. Cenderahati Berbentuk Replika Bangunan dan Monumen

Kebiasaannya pelancong akan membeli sesuatu cenderahati sebagai ingatan dan bukti bahawa mereka telah melawat sesuatu destinasi. Ada di antara mereka akan membelinya sebagai buah tangan atau hadiah kepada saudara mara. Dengan ini proses promosi akan terus berulang.

Antara cenderahati yang mungkin boleh menarik minat pelancong adalah seperti berikut:
1. Replika Masjid Cina
2. Replika Masjid Muhammadi
3. Replika Stadium Muhamad IV
4. Replika Jambatan Tok Bali
5. Wau Bulan
6. Gasing
7. Kijang
8. Art Plate
9. Poskad
10. T-shirt
11. Map / Tour guide
12. Waterfall/Beaches

8. Billboard Gergasi

Di Kelantan amat sedikit billboard yang digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan. Mungkin sesetengah pihak merasakan ianya suatu pembaziran. Tetapi sekiranya pihak bertanggungjawab tertentu boleh menaikkan billboard dengan wajah wakil rakyat tertentu, apalah salah kiranya mempromosikan kawasan peranginan pantai, jeram, air terjun dengan kaedah yang sama.

Antara kawasan ‘hot spot’ untuk menaikkan billboard adalah semua sempadan dan pintu masuk ke Kelantan seperti Jerteh, Gerik, Rantau Panjang dan Gua Musang serta bandar-bandar besar yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Mungkin perbincangan boleh diadakan bagi menaikkan billboard di Thailand, Brunei dan Singapura.

Wat dan patung Buddha yang terpanjang di Asia Tenggara yang terletak di Tumpat mungkin boleh dipromosikan di Thailand.

9. Penganjur Bersama

MAS, AirAsia dan KTM sudah tentu ingin bekerjasama mempromosikan Tahun Melawat Kelantan untuk melariskan jualan tiket mereka.

Memandangkan Sinar Harian sudah kembali bersifat neutral, mereka boleh dijemput sebagai penganjur bersama. Mereka mengiklankan produk pelancongan secara berterusan. Kerajaan Negeri pula mempromosikan akhbar mereka, mungkin logo Sinar Harian boleh diletakkan bersama di billboard gergasi.

10. Promosi Besar-besaran

1. Sekiranya pegawai pertanian boleh masuk ke bendang sawah memberi taklimat kepada petani, mengapa pegawai pelancongan tidak boleh turun bersama masyarakat memberi taklimat tentang pelancongan. Taklimat pelancongan boleh dibuat di sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan. Cikgu merupakan golongan target menjadi pelancong kerana dilihat berkemampuan dari segi kewangan dan masa. Taklimat juga boleh di adakan di IPTA dan IPTS memandangkan trend sekarang di mana golongan mahasiswa suka membuat lawatan sambil belajar terutama semasa cuti semester.

2. Selain di billboard gergasi, badan-badan bas juga boleh dijadikan medium pengiklanan dengan mengecat badan bas memaparkan keindahan kawasan pelancongan. Perbincangan boleh diatur dengan SKMK dan City Liner.

3. TiC (Tourist Information Centre) perlu ditempatkan di lebih banyak tempat seperti stesen bas, stesen keretapi dan lapangan terbang. Pegawai perlu dilatih supaya lebih peramah dan mesra pelanggan.

4. Menjalinkan hubungan baik dengan media. Selain akhbar seperti Harakah dan Sinar Harian, promosi boleh dilakukan di blog-blog milik wakil rakyat Pakatan Rakyat dan juga blogger-blogger yang condong kepada kepimpinan Tok Guru.

5. Mengadakan penerangan pelancongan dengan membuka booth pameran di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan juga di negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Cina, Vietnam dsb. Mungkin juga di muktamar Pas dan seminar Pakatan Rakyat.

PENUTUP

Semua cadanagan ini merupakan kajian yang saya lakukan secara persendirian. Sudah pasti ada kelemahannya. Mungkin ada di antaranya telah pun menjadi sebahagian perancangan Kerajaan Negeri. Saya bersedia untuk memberi penerangan lengkap mengenai cadangan-cadangan tersebut.
Sekiranya ada pihak yang sudi mendengar dan membaca, banyak lagi cadangan-cadangan lain yang akan saya usulkan untuk kepentingan rakyat Kelantan.

Antaranya:

i. Penggunaan Kelate Tiket / Pass
ii. Kelate Map – Tourist Guide
iii. Acara Tahunan – Pesta Durian, Pesta Buah
iv. Tour Bus in Kota Bharu
v. Barcelona in Kelantan
vi. Cruise – Breakfast, Dinner, BBQ in Cruise
vii. Pelancongan Sebagai Senjata Politik – Bukan Lagi Pembangunan
viii. 30 Tempat Menarik Untuk Dilawati
xi. Dan banyak lagi

Sekian, terima kasih.

Disediakan dan disemak oleh,

..............................................
(MOHD ROZAEN B MUSTAPA)

1 comment:

  1. perghh..mantopp bro. apesal hang xmintak jadi pegawai jabatan pelancongan ke? xpun hang mintak la jadik s/u takiyuddin.

    ReplyDelete